sarang burung
'Rezeki kami disekat'
BUKIT MERTAJAM – Kira-kira 200 pengusaha sarang burung walet negeri ini meluahkan rasa tidak puas hati selepas mendakwa wujud monopoli dalam aktiviti mengeksport sarang burung walet ke China.

Wakil pengusaha, Ang Bak Khoon berkata, situasi itu menyebabkan mereka mengalami kerugian besar apabila hanya sebuah syarikat sahaja yang mempunyai kuasa mengeksport produk itu ke China.

Menurutnya, perkara itu diketahui beberapa hari lalu, selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dari seorang rakan dari China yang memberitahu dia tidak boleh membawa masuk sarang burung walet dari Malaysia kerana disekat pihak Kastam China.

“Saya difahamkan kerajaan China hanya akan membenarkan produk sarang burung walet ini dibawa masuk ke sana sekiranya mendapat surat kebenaran dari sebuah syarikat di Malaysia.

“Perkara ini tidak adil bagi kami kerana ia seolah-olah menyekat rezeki kami, dan disebabkan hal ini kami mengalami kerugian kerana tidak dapat memasarkan produk kami ke luar negara. Sedangkan, permintaan untuk sarang burung walet sangat tinggi di sana (China),”
katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pengusaha sarang burung walet di Taman Limau Manis, di sini.

Bak Khoon berkata, setahun lalu, kerajaan China membekukan pengeksportan sarang burung walet keluaran Malaysia ke negara itu, tetapi, ia ditarik balik baru-baru ini menyebabkan mereka sedikit lega.

Namun, baru sahaja mereka hendak menarik nafas panjang, masalah lain pula timbul.

Dakwanya, maklumat yang diterima daripada individu terbabit jelas menunjukkan sebarang urusan pengeksportan sarang burung walet ke China hanya akan dapat dilakukan melalui syarikat berkenaan sahaja.

Dakwanya lagi, perkara itu menunjukkan syarikat terbabit mendapat ‘kuasa mutlak’ daripada pihak-pihak tertentu sehingga membolehkan ia memonopoli aktiviti pengeksportan produk berkenaan ke China.

“Sebelum ini kami sudah 'sakit' kerana tidak dapat mengeksport produk ke China. Selepas larangan itu ditarik, kami baru hendak bangkit dengan kembali aktif mengeluarkan sarang burung walet berkualiti tinggi.

“Tetapi, disebabkan masalah ini, semangat kami kembali pudar,” katanya.

Justeru, pengusaha mahu Kerajaan Persekutuan campur tangan dan membantu mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengelakkan mereka mengalami kerugian secara berterusan.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.